Wednesday, February 13, 2008

PAS Usaha Menang Sekurang-kurang 40 Kerusi Parlimen

KUALA TERENGGANU, 13 Feb (Bernama) -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu akan berusaha untuk menang sekurang-kurangnya 40 daripada 60 kerusi Parlimen yang akan ditandinginya pada pilihan raya umum ke-12.

Beliau berkata parti itu juga akan bertanding di lebih 200 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan yakin PAS akan dapat mempertahankan Kelantan.

Katanya parti yang berpakat dengan PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga akan berusaha untuk mencatatkan kemenangan di kawasan yang diwakilinya bagi memastikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) dapat dikurangkan.

"Sama ada kami dapat kurangkan majoriti dua pertiga ataupun InsyaAllah kami robohkan kerusi Umno. Walaupun kami tidak menang di seluruh negara tetapi bila kerusi Umno sebagai tulang belakang politik negara sudah kurang, ini akan membawa perubahan besar (kepada politik tanah air)," katanya pada sidang akhbar di pejabat Badan Perhubungan PAS Terengganu di sini.

Abdul Hadi berkata pada pilihan raya umum kali ini, PAS akan menumpukan perhatian di Terengganu, Kelantan dan Kedah manakala PKR akan memfokuskan kawasan di Pulau Pinang, Selangor, Sabah dan Perak.

Beliau berkata PAS telah bersedia awal untuk menghadapi pilihan raya ke-12 iaitu sejak ura-ura mengenai pembubaran Parlimen hangat diperkatakan November tahun lepas.

Malah, katanya sejak tempoh itu, parti itu juga sudah mengadakan perbincangan dengan PKR berhubung pembahagian kerusi bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan calon BN.

Mengenai senarai calon, beliau berkata Majlis Syura Ulama PAS pusat telah meluluskan nama-nama calon yang dikemukakan dan terpulang kepada PAS negeri untuk menentukan kawasan yang akan ditandingi mereka.

Beliau turut membayangkan bahawa parti itu akan mengetengahkan 50 peratus muka baru untuk bertanding yang sebahagiannya calon golongan muda dan calon wanita yang terdiri daripada golongan profesional serta berpendidikan agama.

-- BERNAMA

No comments: