Copy and Paste dari Malaysia Today Monday, 11 February 2008
Dari kaji selidik yang dilakukan oleh kalangan orang keliling menantu kesayangan Perdana Menteri itu amat yakin Barisan Nasional mampu meraih kemenangan 2/3 seperti yang diimpikan oleh Abdullah Ahmad Badawi dan pilihanraya kali ini juga turut melihat hampir keseluruhan penyokong setia Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak digugurkan sebagai calon.
KAMAL AMIR MENULIS
AKHIRNYA Abdullah Ahmad Badawi akur juga dengan kehendak dan tuntutan menantu kesayangannya supaya pilihanraya umum ke 12 dilakukan awal tahun ini. Teka teki berhubung persoalan tarikh tersebut kian terjelma apabila beliau memilih angka empat sebagai paksi “fungsui”nya di mana pembubaran Dewan Rakyat bakal dilakukan pada 13 Februari 2008 di mana (1+3 = 4).
Sementara tarikh penamaan calon pula diadakan pada tanggal 22 Februari 2004 (2+2=4) dengan hari pembuangan undi pula diadakan pada tanggal 1-3-2008 (sekali lagi 1 + 3 = 4). Begitulah menurut sumber terdekat dengan orang kuat tingkat empat di Jabatan Perdana Menteri.
Biarpun menurut perkiraan numerology masyarakat Tionghua empat membawa maksud “mati” namun sebagai perkiraan falaq tafsiran Tajul muluk yang menjadi sebahagian daripada rujukan imam besar mahzab Islam Hadhari, bulan safar yang menjelmakan angka empat adalah sebagai sirna kegemilangan untuk Abdullah…. Walahualam!!!
Biar apa pun seandainya benar kenyataan pembubaran Dewan Rakyat dilakukan bererti sekali lagi seluruh rakyat yang mendaftar dengan suruhanjaya pilihanraya serta mencapai usia melebihi 21 tahun bakal berpeluang memilih wakil mereka untuk menjadi ahli Dewan Rakyat di mana untuk kali ini sejumlah 222 kerusi Parlimen akan ditandingi.
Dari jumlah tersebut sebanyak 166 kerusi diperuntukkan di bahagian-bahagian seluruh Semenanjung Malaysia sementara Sabah 25 kerusi dan Sarawak 31 kerusi menjadikan keseluruhannya berjumlah 222 kawasanParlimen.
Selain dari memilih ahli Parlimen, rakyat juga bakal memilih calon-calon bagi kerusi Dewan Undangan negeri kecuali negeri Sarawak yang diadakan pada tarikh dan waktu yang lain. Menurut perangkaan suruhanjaya pilihanraya dari 576 kerusi Dewan Undangan Negeri rakyat akan memilih sejumlah 505 kerusi kerana 71 kerusi diperuntukkan bagi negeri Sarawak.
Disebabkan terlalu tingginya keyakinan Abdullah Ahmad Badawi terhadap kemampuan menantu kesayangannya Khairy Jamaluddin ( si Kitol abad ini ) menjadi perancang utama setiap gerakan politiknya maka diberitakan dari 222 buah kerusi Parlimen terdapat sebanyak 47 kerusi bakal ditandingi oleh orang keliling serta kroni politik anak muda keris berjulung itu.
Dalam erti kata lain ikrar dan persetujuan dalam pertemuan di Perth Australia 20 Januari 2008 yang dikatakan turut dihadiri sama oleh Abdullah Ahmad Badawi telahpun meluluskan sejumlah 47 muka baru bakal ditonjolkan untuk bertanding bagi kerusi Parlimen di mana kebanyakan calon datangnya dari kalangan pengikut setia dan “ balaci” politik Khairy Jamaluddin.
Mengikut sumber tersebut pecahan kerusi tersebut adalah : 2 di Perlis, 6 Kedah, 6 Perak, 7 Selangor, 2 Wilayah Persekutuan, 3 Negeri Sembilan, 3 Melaka, 5 Johor, 4 Pahang, 1 Terengganu, 2 Kelantan, 2 Sabah dan 4 Sarawak.
Bagaimanapun sebahagian besar dari kerusi tersebut juga dikatakan bakal berubah menjadi lebih seandainya ketua perhubungan Umno Kelantan mampu meyakinkan Abdullah Ahmad Badawi agar lebih ramai lagi muka baru ditonjolkan. Disamping itu kedudukan di Pulau Pinang masih samar-samar kerana terdapat perbalahan serta perpecahan sebegitu teruk diantara pimpinan MCA dan Gerakan serta MIC yang masih berebut untuk menambahkan lagi kuota kerusi kepada mereka.
Dari kaji selidik yang dilakukan oleh kalangan orang keliling menantu kesayangan Perdana Menteri itu amat yakin Barisan Nasional mampu meraih kemenangan 2/3 seperti yang diimpikan oleh Abdullah Ahmad Badawi dan pilihanraya kali ini juga turut melihat hampir keseluruhan penyokong setia Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak digugurkan sebagai calon.
Kalaupun ada kalangan mereka yang tinggal hanyalah penyokong serta juak yang sudahpun menukar kiblat mereka kepada Khairy Jamaluddin seperti Ahmad Zahid Hamidi, Jamaluddin Jarjis dan Nazri Tan Sri Aziz. Selebihnya mereka pasti akan digugurkan sebagai peluang terbaik bagi menantu Perdana Menteri memperkukuhkan kedudukannya untuk menyingkirkan Najib seusai musim pilihanraya nanti.
Kerusi-kerusi Parlimen yang bakal menyaksikan pertukaran calon adalah seperti berikut:-
Sarawak kerusi Parlimen yang bakal berubah adalah Kota Samarahan, Batang Sadong, Sarikie dan Santubong. Sementara Perlis menyaksikan dua menteri penuh bakal digugurkan terdiri dari Azmi Khalid dan Radzi Sheikh Ahmad bagi kerusi Padang Besar dan Kangar. Kedudukan Syed Razlan tidak berubah.
Kedah bakal menyaksikan enam muka baru dari kalangan “orang rapat” Khairy dengan kerusi Kulim Bandar Baru diberikan kepada Aziz Sheikh Fadzir disamping itu kerusi Parlimen Langkawi, Sungai Petani, Baling, Sik dan Merbok bertukar ganti.
Enam kawasan di Perak bakal menyaksikan muka baru terdiri dariParit Buntar, Tasek Cenderoh, Parit, Kuala Kangsar, Gerik dan Beruas sementara Selangor pula menyaksikan tujuh kawasan yang bakal menonjolkan muka baru terdiri dari Shah Alam, Gombak, Ampang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Serdang dan Tanjung Karang.
Dua kerusi di Selangor diasaskan sebagai usaha Abdullah mahu memperlihatkan persoalan moral pemimpin yang bersih kerana kedua-dua wakil rakyat tersebut dikatakan menjadi bahan bualan kedai kopi dan pasaran politik negara kerana dikatakan terseret dalam persoalan cinta terlarang yang boleh menjadi ledakan skandal rumahtangga sementara satu kerusi lagi disebabkan sudah semakin tersebar cerita kes rasuah dan serbuan disebuah kelab karaoke.
Wilayah Persekutuan pula menyaksikan dua kerusi Parlimen di Titiwangsa dan Putrajaya bakal bertukar ganti dengan calon muka baru di mana Titiwangsa adalah sebagai memenuhi tuntutan Umno bahagian tersebut yang menghantar bantahan serta memorandum agar wakil rakyat dikawasan tersebut seharusnya dipilih dikalangan pimpinan bahagian itu.
Penyingkiran Tengku Adnan Tengku Mansor dari bertanding kerusi Putrajaya adalah merupakan ekoran dari pendedahan pita video V.K Lingam yang tidak hanya diledakkan oleh pimpinan parti Keadilan tetapi ia turut dijadikan modal paling ampuh bagi membolehkan anak emas Khairy Jamaluddin bernama Datuk Ahmad Zaki menggantikannya. Biar apapun terdapat juga kemungkinan menantu Perdana Menteri menjadikan Putrajaya sebagai kerusi paling selamat untuk dirinya dari bertanding di Rembau Negeri Sembilan.
Tiga kerusi Parlimen yang bakal menyaksikan perubahan di Negeri Sembilan adalah bagi kawasan Kuala Pilah, Jelebu dan Rembau di mana percaturan politik negeri adapt pepatih itu di lihat semakin bergolak dan untuk tujuan tersebut selain dari tiga kerusi Parlimen terdapat juga sejumlah 14 kerusi Dewan Undangan Negeri dari jumlah 36 kerusi bertukar tangan.
Melaka bakal menyaksikan perubahan kerusi bagi Parlimen Masjid Tanah yang bakal diperuntukan kepada Datuk Norza Zakaria , Jasin dan juga Tanga Batu sebagai pertukaran untuk Datuk Ali Rustam berpindah dari negeri Melaka untuk diangkat sebagai menteri penuh di peringkat kerajaan federal dalam usaha menyediakan laluan mudah apabila sampai masanya Khairy Jamaluddin memintas Hishamuddin Tun Husein seterusnya menyingkirkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Lima kerusi Parlimen di Johor pula melibatkan kawasan Bakri, Labis (kedua-duanya dari kumpulan yang disingkirkan oleh MCA) Parit Sulong, Simpang Rengam, Seri Gading dan Semberong disebabkan kemungkinan besar Hishamuddin di hantar pulang ke peringkat negeri untuk tidak lagi menjadi pesaing kepada percaturan politik Khairy untuk dinobatkan sebagai Perdana Menteri di usia empat puluh tahun.
Pahang pula menyaksikan empat kerusi Parlimen bertukar ganti di mana Bera yang diwakili oleh Ismail Sabri akan digantikan dengan calon pilihan Khairy termasuk kerusi Temerloh, Paya Besar dan Cameron Highlands , sementara Terengganu pula hanya menyaksikan satu sahaja perubahan melibatkan kawasan Hulu Terengganu. Kalaupun Idris Jusoh mungkin digantikan oleh Datuk Wan Farid (setiausaha politik Abdullah ) beliau mungkin berubah kawasan yang belum dipastikan.
Kelantan pasti menyaksikan dua kerusi bertukar calon melibatkan Parlimen Kota Bharu dan Tanah Merah. Bagaimanapun berita semakin tersebar kencang untuk kumpulan Anwar Musa menolak Tengku Razaleigh Hamzah dari bertanding di Gua Musang sebagai tempat selamat untuk dirinya sendiri seandainya Datuk Alwi masih bertegas mahu bertanding di kerusi Ketereh.
Sabah setakat ini dikhabarkan dua kawasan pasti bertukar ganti adalah bagi Parlimen Kalabakan dan Semporna kerana Datuk Shafie Afdal semakin diyakini oleh Abdullah untuk dibawa pulang ke negeri bawah bayu bagi kelangsungan politik masa depan menantunya.
Melihat dari perubahan sejumlah 47 kawasan Parlimen yang sebahagian besar akan diisi oleh para juak serta hulubalang Khairy Jamaluddin pastinya perpecahan dikalangan pimpinan Umno semakin terserlah dan bagaikan “ retak menanti belah ” di mana kedudukan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kian diasak untuk tidak lagi menyimpan angan menggantikan Abdullah Ahmad Badawi.
Penyingkiran lebih lapan puluh peratus penyokong Najib di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (insyallah akan kita siarkan dicatatan akan datang) adalah sebagai isyarat awal Khairy Jamaluddin yang pasti bakal “ menyembelih ” Najib sebagai korban politik pertamanya.
Pendedahan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir kononnya Abdullah hanya layak sebagai Perdana Menteri untuk tempoh satu penggal sebelum menyerahkan kepada Najib menjadi iltizam serta semangat berkobar-kobar Khairy mahu “ meletakan paku terakhir bagi keranda politik Datuk Najib”. Begitulah perkhabaran yang dibawa dari Perth , Australia selepas malam 20 Januari 2008.
Monday, February 11, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment