Monday, March 17, 2008

UMNO dan BN perlu 'dirawat'

Oleh : ALNORULHADI BIN AB HAMID

Kota Bharu
17-03-2008 01:04:26 PM

SAYA melihat pilihanraya umum ke-12 baru-baru ini umpama tsunami yang begitu hebat melanda tanpa mengira sesiapa sehinggakan beberapa Menteri dan Timbalan Menteri tersungkur.

Pakatan pembangkang yang dikenali barisan alternatif telah berjaya menguasai lima buah negeri disamping berjaya menafikan majoriti 2/3 BN di parlimen. Keputusan pilihanraya kali ini adalah yang terburuk dalam sejarah negara.

Keputusan ini juga adalah isyarat jelas kemarahan rakyat kepada kerajaan BN sehingga calon bidan terjun parti pembangkang khususnya PKR berjaya memenangi. Isyarat kemarahan rakyat ini yang agak menghairankan kerana ditunjukkan oleh ketiga-tiga kaum Melayu, India dan Cina.

Jika pilihanraya pada 1999 BN kehilangan dua buah negeri, tetapi isyarat kemarahan rakyat hanya ditunjukkan oleh kaum Melayu ketika itu. Walaubagaimanapun BN masih menguasai majoriti 2/3 di parlimen.

Saya melihat tidak mustahil UMNO dan BN akan kehilangan kuasa pada pilihanraya ke-13 nanti, jika tiada perubahan yang berani dan drastik dilakukan. Rakyat tidak mahu lagi perubahan hanya bersifat luaran atau kosmetik.

Maka janganlah menangis dan menyesal jika BN kehilangan kuasa nanti. Saya ingin memfokuskan kepada UMNO kerana parti ini adalah tulang belakang kepada BN untuk dirawat dan dibuat perubahan yang drastik dan berani.

Saya menyokong beberapa kenyataan pimpinan UMNO untuk memantapkan institusi parti. Maka ahli-ahli UMNO lah yang bertanggungjawab untuk menetukan masa depan parti itu.
Jika tersilap langkah tidak mustahil UMNO akan menjadi parti yang tidak relevan di masa akan datang. Secara peribadi UMNO masih mempunyai banyak ruang dan waktu untuk memperbaiki dan memperkasakannya.

Individu tidak penting tetapi parti dan negara yang penting. Manakah yang lebih penting individu dikorbankan atau parti dan negara terkorban? UMNO juga perlu rasional dan bersikap terbuka di atas apa sahaja cadangan pemulihannya.

Janganlah mengulangi kesilapan dengan menghukum mereka yang memberi cadangan yang tidak sependapat dengan pucuk pimpinan. Umpamanya mengggantung keahlian atau memecatnya. Ini boleh melemahkan dan mengkucar-kacirkan parti.

Jika ada ahli yang ikhlas menegur dengan cara yang baik, maka rasionallah jangan cepat melatah dan masih mahu menunjukkan kuasa untuk mengambil tindakan. Mana-mana ahli yang menjadi liabiliti kepada parti dan membawa persepsi negatif perlulah direhatkan buat sementara waktu seperti tidak melantik ke jawatan kabinet atau kerajaan.

Ini boleh meredakan kemarahan rakyat. Begitu juga dengan mereka yang kalah.
Dasar-dasar kerajaan juga perlu dilihat dan dikaji semula dimana biarlah projek-projek pembangunan dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi.

Rakyat pada hari ini makin cerdik dan matang. Mereka tidak mahu lagi menu dan resepi sahaja, tetapi mereka mahukan juadahnya. Mereka tidak mahu slogan semata-mata, tetapi isi kepada slogan itu yang lebih penting.

Saya percaya kerajaan BN akan melihat perkara ini. Selain itu, pengagihan kekayaan juga perlu dirasai oleh semua tanpa terpinggirnya mana-mana kaum. Bangunkan masyarakat bumiputera yang masih ketinggalan terutama di luar-luar bandar dan di pedalaman.

Isu harga minyak dan kenaikan barang juga perlu diselesaikan segera. Dasar pengurangan subsidi jelas tidak diterima oleh rakyat, maka sewajarnya kerajaan mengekalkan dasar pemberian subsidi, disamping mencari sumber-sumber lain untuk menampung ekonomi negara.

Saya percaya rakyat menerima kenaikan harga minyak tetapi cuba meminimumkan kenaikannya supaya rakyat tidak merasainya secara mendadak. Projek-projek pembangunan yang menguntungkan rakyat janganlah ditangguh dan diteruskan.

Umpamanya projek landasan berkembar elektrik daripada Ipoh-Pdg Besar dan Seremban-Johor Bahru. Projek-projek yang menimbulkan kontoversi perlu dibatalkan atau dikaji semula seperti projek keretapi laju KL-Singapura.

Koridor-koridor ekonomi yang telah dirancang juga perlulah diteruskan tetapi dibuat penambahbaikan supaya rakyat mendapat manfaat secara langsung. Koridor WPI di johor juga perlu dibuat pembetulan jika mengundangkan beberapa kontroversi.

Umpamanya, kerajaan membatalkan penubuhan jawatankuasa peringkat menteri Malaysia dan Singapura dalam projek WPI. Ini boleh meredakan kemarahan rakyat dan persepsi buruk kepada kerajaan.

UMNO perlu kembali kepada landasan yang betul. Janganlah pemimpin UMNO dilihat berjuang kerana untuk mengaut kekayaan dan kuasa. Sehinggakan rakyat melihat pemimpin UMNO sebagai tidak cekap, rasuah, kronisme dan nepotisme.

Berjuanglah kerana agama, bangsa dan negara. Biro agama UMNO perlulah aktif memainkan peranan. Jalankanlah program-progaram agama dan usrah kepada ahli dan pemimpin UMNO supaya mereka yang tersasar akan kembali kepada matlamat asal perjuangan.

Letakkanlah Al-quran dan as-sunnah sebagai teras perjuangan kerana saya percaya perjuangan UMNO akan terus relevan bila berpegang kepada dua perkara tersebut.
Rakyat sedang memerhatikan setiap perubahan yang akan dibuat oleh kerajaan BN sekarang.

Gunakanlah peluang yang ada untuk memperbetulkan keadaan. Ambillah pandangan nasihat daripada bekas-bekas pemimpin dan veteran UMNO. Jangalah pinggirkan dan berlagak sombong kepada bekas pemimpin. Kerana pengaruh mereka masih kuat di peringkat akar umbi.

Pihak media juga perlulah menggambarkan keadaan yang sebenar. Janganlah mengulangi kesilapan sehinggakan menggambarkan perkara yang salah kepada pemimpin. Sebab sokongan kepada seseorang pemimpin itu perlu datang dari peringkat akar umbi bukan dari pemimpin-pemimpin yang kaki bodek dan pengecut, yang takut hilang jawatan!

No comments: