Monday, March 17, 2008

Mohammad Nizar angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak

Laporan BERNAMA
17-03-2008 12:39:17 PM

KUALA KANGSAR: Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baru, selepas persetujuan mengadakan pakatan kerajaan campuran antara DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS untuk mengetuai pentadbiran kerajaan negeri dicapai.

Pada istiadat yang berlangsung pukul 11.40 pagi Isnin di hadapan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah di Istana Iskandariah di sini, Mohammad Nizar, 51, menerima watikah pelantikan sebelum diteruskan dengan majlis mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia sebagai Menteri Besar yang ke-10.

Beliau yang berpakaian baju Melayu lengkap berwarna hitam kemudiannya menandatangani surat perlantikan dengan disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk V. T. Singam.

Hadir sama pada istiadat itu ialah Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim, Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria, bekas Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali serta wakil anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada kerajaan campuran itu.

Mohammad Nizar mengangkat sumpah pada hari yang juga merupakan hari lahir beliau, selepas majlis itu terpaksa ditangguhkan pada Khamis lepas kerana DAP, PKR dan PAS tidak mencapai kata sepakat yang ketara dalam penubuhan kerajaan campuran.
Turut hadir pada majlis angkat sumpah hari ini adalah Penasihat DAP Lim Kit Siang, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, Pesuruhjaya PAS Perak Ahmad Awang dan Pengerusi PKR Perak Zulkifli Ibrahim.

Mohammad Nizar yang merupakan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak, menjadi wakil pertama daripada parti selain Umno yang menyandang jawatan Menteri Besar di Perak.

Kesemua sembilan Menteri Besar sebelum ini adalah daripada Umno semasa gabungan Perikatan dan selepas Barisan Nasional (BN) diwujudkan.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, pakatan DAP, PKR dan PAS menguasai 31 kerusi DUN berbanding Barisan Nasional (BN) yang hanya menang di 28 kerusi dan ketigatiga parti itu sepakat membentuk kerajaan campuran.

Mohammad Nizar yang menang kerusi DUN Pasir Panjang pada pilihan raya umum itu selepas menewaskan calon BN, S. Vasan dengan majoriti 4,474 undi merupakan seorang jurutera perunding lulusan Aston University of Science & Technology di Birmingham, England.

Mohammad Nizar menyertai PAS pada 1995 dan bertanding kali pertama bagi merebut kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada pilihan raya umum 2004 tetapi tewas kepada penyandangnya Datuk Seri Rafidah Aziz.

Beliau yang ditemani isterinya Fatimah Taat pada majlis itu, mempunyai lapan orang anak, lima lelaki dan tiga perempuan.

Sepanjang berkecimpung dalam politik bersama PAS, beliau telah memegang beberapa jawatan iaitu Bendahari Badan Perhubungan PAS Perak dan sebagai Yang Dipertua PAS Kampar.

Menteri Besar Perak yang baru itu memulakan persekolahan di Sekolah Rendah Anglo Chinese (ACs) Kampar sebelum meneruskan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Anglo Chinese (ACs) Kampar dan Sekolah Menengah Teknik Ipoh, dan menyambung pengajian peringkat A Level dan ijazah di England.

Beliau memulakan kerjayanya bersama Jabatan Kerja Raya sebelum menjadi jurutera Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

No comments: