Friday, August 29, 2008

Pembangkang Mahu Rang Undang-undang DNA Dirujuk Kepada Jawatankuasa Pilihan

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Pembentangan Rang Undang-Undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 terus dipertikaikan Anggota Parlimen daripada parti-parti pembangkang di Dewan Rakyat hari Rabu.

Kali ini, Dr Tang Seng Giaw (DAP-Kepong) mencadangkan supaya rang undang-undang itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi membolehkan isi kandungannya diteliti semula sebelum dikemuka kepada Dewan Rakyat.

Dr Tan berkata ia perlu dirujuk memandangkan terdapat beberapa kelemahan dan perkara yang tidak diperhalusi di dalam rang undang-undang itu.

"Jadi saya mencadangkan supaya rang undang-undang ini dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas bagi membolehkan implikasi daripada rang undang-undang ini dikaji dengan lebih teliti.

"Saya rasa anggota parlimen Kota Tinggi (Datuk Seri Syed Hamid Albar) belum betul-betul mendalami implikasi dan kesan pewujudan rang undang-undang ini," katanya.

Dr Tan turut bersetuju dengan dakwaan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) bahawa rang undang-undang itu sengaja dibentang secara tergesa-gesa atas faktor tertentu termasuk tidak mahu anggota parlimen Permatang Pauh (Datuk Seri Anwar Ibrahim) datang membahaskannya.

Cadangan wakil Kepong itu disokong Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), yang berpendapat rang undang-undang itu sewajarnya ditarik semula kerana masih banyak perkara yang tidak lengkap, termasuk belum dirujuk kepada badan-badan hak asasi manusia.

Beliau berkata antara yang belum diperinci ialah aspek berhubung kebebasan individu, badan yang akan dipertanggungjawab untuk mengumpul, memperoleh dan menyimpan data-data forensik yang diperoleh, tafsiran berhubung pakar-pakar forensik dan kelayakan mereka serta kuasa menteri untuk menentukan pihak yang boleh mengambil dan menjalankan kajian forensik yang disifatkan terlalu besar.

M. Manogaran (DAP-Telok Intan) juga mahu rang undang-undang itu ditarik semula dan menawarkan khidmat untuk membantu kerajaan meneliti semula rang undang-undang berkenaan bagi memperbaiki sebarang kelemahan yang ada.

"Saya tidak percaya menteri sudah memberi perhatian yang cukup dan sewajarnya (terhadap rang undang-undang) sebab banyak defects (kecacatan) di sini. Saya percaya rakan-rakan di sebelah sini, Pakatan Rakyat sedia bantu kerajaan untuk teliti dan beri sumbangan dan nasihat bagi rang undang-undang ini supaya ia boleh diterima dan digunakan di masa hadapan," katanya.

Setelah banyak kali cadangan itu dikemukakan anggota dewan, mendorong R.Sivarasa (PKR-Subang) untuk mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 54(2) supaya rang undang-undang itu dikemukakan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.

"Saya rasa adalah lebih sesuai rang undang-undang ini dirujuk kepada jawatankuasa untuk dibaiki kelemahannya dan dirujuk balik ke dewan ini pada masa yang sesuai," katanya yang meminta Yang Dipertua Dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat keputusan berhubung perkara itu.

Usul itu menyebabkan berlakunya pertikaman lidah antara Sivarasa dan Menteri Dalam Negeri Datuk Syed Hamid Albar yang berpendapat bahawa berdasarkan Peraturan Mesyuarat 54(1) dan 54(2) sebarang usul untuk merujuk rang undang-undang kepada jawatankuasa khas perlu dibuat sebelum bacaan kedua rang undang-undang itu.

"Sekarang kita sudah masuk perbahasan... sepatutnya usul itu dikemuka sebelum rang undang-undang ini dibacakan untuk kali kedua, pada tafsiran saya sekarang sudah terlambat untuk rujuk rang undang-undang ini ke jawatankuasa khas," katanya.

Bagi meredakan pertikaian itu, Pandikar Amin berkata beliau tidak akan membuat apa-apa keputusan berhubung perkara itu kerana tidak pasti sama ada usul dan Peraturan Mesyuarat yang dikemukakan itu boleh digunapakai untuk merujuk rang undang-undang berkenaan kepada jawatankuasa khas.

"Yang Berhormat mempunyai tafsiran sendiri (mengenai Peraturan Mesyuarat). Yang berhormat tidak boleh mensabitkan saya mengenai sesuatu yang merupakan pendapat Yang Berhormat. Saya mahu benar-benar yakin pendapat mana yang betul.

"Sebab itu saya kata pendapat Subang (Sivarasa) itu saya terima, tetapi pada peringkat ini saya tidak akan buat sebarang keputusan. Kita masih ada esok, jadi tidak salah jika kita benarkan empat lima orang lagi berbahas," katanya.

Beliau juga berkata jika ramai yang masih tidak bersetuju dengan rang undang-undang itu, bantahan juga boleh dibuat melalui undi belah bahagi sebelum rang undang-undang itu dibacakan untuk kali kedua.

Persidangan dewan disambung Khamis.

-- BERNAMA

No comments: